Feb 28, 2022 - FASPerkembangan terkini mengenai fasa pemulihan kedua-dua pemain Selangor FC, Halim Saari dan R. Dinesh yang mengalami Anterior Cruciate Ligament (ACL) musim lalu semasa liga berlangsung.
Halim dan Dinesh dikatakan telah menjalani fasa pemulihan yang sangat baik dan mereka sekarang berada di landasan yang tepat untuk progres pemulihan masing-masing.
Menurut Dr Hazwan, Ketua Jabatan Sains Sukan Selangor FC, "Sekarang program Halim tertumpu kepada latihan khusus sukan bola sepak lebih-lebih lagi dari segi ketangkasan. Beliau sudah pun menjalani latihan 'shooting' dan selepas ini kami akan menambah lagi 'demand' dengan melakukan latihan 'crossing',"
"Beberapa hari ini, Halim kurang sihat, jadi pihak Jabatan Sains Sukan Selangor FC telah menyediakan 'home program' kepadanya untuk mengekalkan kecerdasannya sepanjang berada di rumah bagi memudahkan fasa pemulihan seterusnya apabila beliau kembali ke FAS Training Centre,"
"Walau Bagaimanapun, mengikut time frame, Halim insyaAllah akan kembali ke pasukan tidak lama lagi. Kita tidak mahu tergesa-gesa untuk beliau beraksi sehingga beliau sudah bersedia bagi mengelakkan kecederaan seperti ini berlaku lagi,"
Bila ditanyakan tentang R. Dinesh pula, Dr Hazwan berkata "Kemajuan yang Dinesh tunjukkan sekarang adalah sangat baik. Berdasarkan pakar bedah yang kami rujuk, beliau berada di landasan yang tepat untuk tempoh masa 9 bulan kecederaan ACL. Ini bermaksud kepastian untuk beliau kembali beraksi adalah sangat tinggi.
"Dinesh sendiri merasakan hasil yang positif daripada semua proses yang dijalankan. Saiz lututnya juga semakin membesar dengan baik dan beliau menjalani setiap program yang disediakan dengan penuh dedikasi. Setakat ini, tiada sebarang kelewatan daripada perkembangan pemulihannya,"
Selain itu, baru baru ini Zikri Khalili, pemain pertahanan muda Selangor FC, yang terpaksa pulang awal daripada Kejuaraan AFF B23 2022 atas faktor kecederaan lututnya juga telah menunjukkan progres yang baik menurut Dr Hazwan.
"Sejurus sahaja beliau habis kuarantin, pihak Jabatan Sains Sukan Selangor FC telah membuat keputusan untuk beliau melakukan MRI. Hasil daripada pemeriksaan tersebut, beliau mengalami lateral meniscus tear dan Zikri telah melakukan pembedahan pada hari Jumaat lalu atas perbincangan Jabatan Sains Sukan Selangor FC dan pakar bedah,
Kini beliau telah kembali ke FAS Training Centre menjalani sesi pemulihan bersama Jabatan Sains Sukan Selangor FC. Alhamdulillah beliau mampu berjalan tanpa tongkat dan sekarang hanya perlu perlahan-lahan meningkatkan kekuatan otot beliau. Tiada sebarang komplikasi selepas pembedahan, pergerakan beliau juga hampir sempurna walaupun baru tiga hari pembedahan. Mengikut perbincangan insya Allah beliau akan kembali dalam 2 ke 3 minggu ini," Kata Dr Hazwan.
Selangor FC mendoakan agar Halim, R. Dinesh dan Zikri dapat terus berikan komitmen untuk kembali pulih serta dapat kembali menjalani latihan bersama pasukan.
Perkembangan lanjut mengenai pasukan utama Selangor FC akan dikemaskini dan dimaklumkan dari semasa ke semasa kelak.
Demi kebanggaan!